Lahir di Baling Kedah, mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Maahad Al-Ehya Assharif Gunung Semanggol, Bagan Serai, Perak. Kemudian memperolehi Sijil 4 Sanawi di Sekolah Menengah (A) Izzuddin Shah Ipoh sebelum melanjutkan pengajian Sarjana Muda Syariah di Universiti Al-Azhar, Kaherah Mesir (1999). Seterusnya memperolehi Diploma Pentadbiran Kehakiman dan Guaman Islam dari UKM (2004).
Mula menulis sebagai sub-editor dan penasihat di content management Mukmin.com Sdn.Bhd, sebuah laman web portal Islamik sejak tahun 2000. Memasuki bidang perundangan sebagai Pegawai Sulh (Mediator) di Mahkamah Syariah Hulu Langat pada April 2002 dan ditauliahkan sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah Selangor pada tahun yang sama.
Pernah menjawat sebagai Pegawai Penyelidik Ketua Hakim Syarie, Pegawai Perhubungan dan Pengaduan Awam dan menanggung kerja Pendaftar di Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) sepanjang tempoh 8 tahun di negeri Selangor. Semasa berada di JAKESS karya penulis berkenaan syariah dan undang-undang pernah diterbitkan secara berkala dalam Majalah MAIS.
Pada November 2009 berkhidmat sebagai Pendakwa Syarie di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan beramal di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Mulai Mac 2010 bertugas sebagai Penolong Kanan Syariah di Jabatan Bantuan Guaman Negeri Johor. Beramal sebagai Peguam Syarie Persekutuan untuk Mahkamah Rayuan Syariah di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor hingga ke Mahkamah Rendah Syariah.
Mengisi slot ‘Adam’ dan ‘Faraid’ on-air di Radio Malaysia Johor secara mingguan sejak tahun 2015 hingga Ogos 2017 sebelum ditempatkan ke Mahkamah Syariah Negeri Melaka sebagai Pegawai Penyelidik Ketua Hakim Syarie. Mendapat tauliah Hakim Mahkamah Rendah Syariah sepanjang berkhidmat di Melaka. Berpengalaman menyelidik dan menulis draf Alasan Penghakiman untuk Ketua Hakim Syarie dan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah.
Pada Oktober 2019 mula bertugas sebagai Penolong
Penasihat Undang-Undang Negeri Johor dah hadir ke Mahkamah sebagai Peguam Persekutuan
dalam kes ligitasi sehingga kini.